Followers

Tuesday, May 31, 2011

Demo Lynas hampir cetus pergaduhan


Perhimpunan membantah pembinaan kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Kuantan oleh kumpulan “Selamatkan Malaysia” hampir bertukar menjadi pergaduhan apabila diganggu oleh kumpulan yang tidak dikenali.

Tindakan kira-kira 120 orang yang menyertai kumpulan itu tidak disenangi kira-kira 20 lagi yang berkelah di pantai itu.

Mereka, yang mengaku penduduk tempatan, meminta aktivis Save Malaysia beredar kerana didakwa mencemarkan pantai.

'Selamatkan Malaysia' mengadakan bantahan pagi ini di pantai peranginan Teluk Cempaka, lokasi di mana sembilan anggota panel Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang mengkaji kesesuaian pembinaan kilang itu menginap.

Ia juga lokasi rundingan awam dijalankan.

Kumpulan 20 orang itu kemudiannya dilihat mahu menyuraikan Save Malaysia dengan kasar tetapi dihalang pihak polis.

Bagaimanapun, perkara itu terus mengundang kemarahan pihak itu yang mendakwa penunjuk perasaan itu bukan orang tempatan.

"Kami memang daripada Kuantan, ini Tanah Melayu!" kata seorang lelaki yang dikenali sebagai Azman Attar ketika ditanya sama ada mereka mewakili mana-mana kumpulan.

Save Malaysia -- pimpinan pengerusinya Tan Boon Teet -- kemudiannya hanya duduk dan menunggu di penjuru pantai dan meninggalkan tempat itu kira-kira jam 9.30am.

Sementara kumpulan yang menyokong projek Lynas masih tetap di situ.

Sementara itu, Bernama melaporkan panel terbabit yang terdiri daripada ahli profesional pelbagai bidang dari Kanada, Finland, India, Itali, Belanda dan United Kingdom antaranya menemui wakil Majlis Peguam Pahang, ADUN Beserah dari PAS, Syed Mohammad Tuan Lonik dan ADUN Semambu dari BN, Datuk Pang Tsu Ming.

Namun, berlaku sedikit kekecohan apabila kumpulan lelaki tidak berpuas hati dengan tindakan Syed Mohammad yang mengadakan sidang akhbar di luar lobi hotel berkenaan selepas pertemuan itu sehingga memaksa polis mengiringi wakil rakyat tersebut ke kenderaannya bagi mengelak dikasari.

Kumpulan lelaki terbabit juga cuba merampas kamera dua wartawan akhbar berbahasa Cina yang merakam kekecohan itu.

Salah seorang wartawan terbabit, Lee Siew Ting berkata kejadian berkenaan tidak sepatutnya berlaku kerana beliau hanya menjalankan tugas.

"Kami bertugas secara profesional dan mereka sepatutnya menghormati tugas pemberita," katanya.

Bagaimanapun, beberapa wakil daripada kumpulan lelaki terbabit kemudian tampil meminta maaf atas kejadian tersebut dan mengakui ia tidak sepatutnya berlaku.

"Mereka mungkin sedang marah ketika itu dan hilang pertimbangan sehingga boleh bertindak demikian," kata salah seorang wakil yang enggan dikenali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata beliau telah memberi amaran terakhir kepada kumpulan penyokong dan anti projek Lynas supaya tidak lagi mencetuskan kekecohan seperti itu.

Katanya polis sentiasa bersiap sedia dengan menempatkan anggota sepanjang masa termasuk anggota Cawangan Khas dan Pasukan Penggempur Ringan (LSF) bagi memantau serta mengawal keadaan ketika panel IAEA menjalankan tugas.

Kilang bernilai RM700 juta yang sedang dibina di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan menimbulkan kontroversi kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang didakwa boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Kerajaan Malaysia telah menjemput panel pakar dari IAEA berkenaan untuk menyiasat isu kesihatan dan keselamatan berhubung projek pembinaan kilang berkenaan. (Malaysiakini)

No comments:

Post a Comment