Tarikh : 08 November 2010
Tempat : Surau Kampung Seberang Sungai Ular, Kuantan
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana program ini telah berjalan dengan jayanya. Walaupun hujan yang turun sejak dari petang agak lebat, ini tidak melemahkan semangat para anggota Amal Indera Mahkota untuk turun ke Kampung Seberang Sungai Ular, demi tidak menghampakan harapan penduduk setempat yang mahu mengetahui dengan lebih lanjut "Apa Itu Jabatan Amal Indera Mahkota". Sambutan dari ahli jemaah setempat juga amat membanggakan.
Majlis dimulakan dengan kuliah maghrib yang telah disampaikan oleh ustaz Suhaimi Saad yang merupakan Ketua DPP Negeri Pahang. Para jemaah cukup terhibur dengan penyampaiannya yang mantap dan sentiasa berlapik dengan hujah dalil dan nas.
Selepas jamuan ringan, program penerangan & dialog dimulakan dan ia dikendalikan oleh Ketua Pengarah Amal Indera Mahkota iaitu saudara Sheikh Azlan Sheikh Abd Aziz. Beliau memberi penerangan berkaitan Amal serta melayani pertanyaan dari pihak jemaah. Alhamdulillah, sesi dialog berlangsung dalam keadaan yang cukup harmoni dan penuh semangat ukhuwah.
Program penerangan & dialog ini adalah merupakan program yang kedua diadakan selepas di Surau Kubang Ikan di dalam Cawangan Cendor.
Di dalam program ini juga, pihak Jabatan Amal Indera Mahkota telah membuka kaunter Qurban dan Aqiqah Perdana anjuran Yayasan Amal Malaysia serta memasarkan serba sedikit barangan yang dibawa seperti kalendar, VCD ceramah, buku-buku dan lain-lain lagi, untuk mengisi dana Amal Indera Mahkota.
Insya-Allah, kami harapkan agar program seperti ini akan dipergiatkan lagi di cawangan-cawangan yang lain dalam Kawasan Indera Mahkota agar setiap orang kenal dengan Jabatan Amal yang membawa misi PAS sebagai "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang."
Jamuan ringan yang disediakan pihak surau. "Terima kasih daun keladi, Insya-Allah nanti kami datang lagi."
Ketua Pengarah Amal Indera Mahkota, Sheikh Azlan Sheikh Abd Aziz sedang mengendalikan sesi penerangan dan dialog. "Ada apa-apa soalan?"
No comments:
Post a Comment